Home Informasi Jenama Tuala Wanita Turunkan Iklan Selepas Dibantah Badan Agama, Cetus Perbezaan Pendapat!

Jenama Tuala Wanita Turunkan Iklan Selepas Dibantah Badan Agama, Cetus Perbezaan Pendapat!

0
Jenama Tuala Wanita Turunkan Iklan Selepas Dibantah Badan Agama, Cetus Perbezaan Pendapat!

Menjadi perbincangan hangat di laman sosial baru-baru ini mengenai sebuah gambar bunga yang seakan-akan alat sulit wanita dalam kempen terbaharu sebuah jenama produk tuala wanita.

Jenama produk tuala wanita itu telah pun menarik semula iklan mereka selepas sebuah badan agama, Majlis Wanita Islam YADIM (MAYA) mengeluarkan kenyataan membantah iklan yang menumpukan motif vulva.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi satu ciapan yang dihantar oleh Timbalan Pengerusi MAYA, Ustazah Asmak Husin, jenama tuala wanita itu dikatakan menyalahgunakan gambar alat sulit wanita dalam reakaan grafik kempen berkenaan.

Katanya, alat sulit wanita tidak seharusnya dijadikan material kempen kerana ia dilihat sebagai menjatuhkan martabat wanita.

Libresse Malaysia tidak berapa lama kemudian mengeluarkan kenyataan menjelaskan tujuan mereka di sebalik kempen tersebut.

“Terima kasih banyak atas maklum balas anda yang sangat dihargai. Kami memahami kebimbangan anda dan kami telah menarik semula iklan yang tersebut dari pelbagai saluran.

“Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan mana-mana wanita atau komuniti.

“Kami sentiasa mempertahankan semua wanita dan niat kami adalah untuk menggalakkan semua wanita untuk menerima kewanitaan dan potensi penuh mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan MAYA mendapat perbezaan pendapat dalam kalangan netizen.

Rata-rata mengatakan kempen berkenaan sangat penting untuk menggalakkan semua wanita mengetahui tentang keadaan serta tahap kesihatan organ dan tubuh badan mereka.

Isu ini turut mendapat perhatian pelakon Sharifah Amani yang merasakan perbincangan mengenai kesihatan vulva atau alat kemaluan wanita seharusnya diterima lebih terbuka dalam masyarakat.

“Kempen ini sangat bagus untuk menggalakkan kita menyayangi dan bercakap tentang tubuh badan kita. Sayangnya, ia telah tiada (dipadamkan).”

“Sebagai wanita, kami amat cakna tentang kebersihan dan kemiskinan haid. Kami menyokong penuh kempen yang dilakukan pihak Libresse Malaysia dalam memberi kesedaran tentang kebersihan dan kemiskinan haid terhadap wanita baik di bandar atau diluar bandar.”

“Perkara ini perlu diajar di sekolah dan di rumah kerana sebilangan wanita masih tidak tahu mengurus private part sendiri.”

“Libresse jela menggunakan gambar bermotifkan bunga untuk iklan baharu mereka. Mereka tidak pun mengunakan gambar sebenar atau lakaran Miss V wanita.”

Selain itu, ada yang menyuarakan terdapat banyak iklan berunsur lucah yang dipaparkan di papan iklan yang perlu dipersoalkan berbanding isu kempen tuala wanita itu.

Ada juga yang menyokong kenyataan MAYA dengan menyifatkan jenama tersebut dilihat sengaja menormalisasikan kelucahan.

Kempen yang diperkenalkan jenama tuala wanita terbabit, merupakan pelancaran pembalut tuala wanita edisi terhad dengan kemasan yang dihiasi dengan motif bunga dari ilham kebaya Nyonya dan vulva.

Ia dilaporkan bertujuan untuk melawan stigma berkaitan faraj dan mendorong wanita untuk berasa yakin dengan tubuh mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here